Tuesday, August 2, 2011

Persoalan N Jawapan


Bolehkah wanita yg didatangi haid memegang mushaf dan membaca quran..buleh sertakan dalil dan pandangan yg rajih

-----------------------------------------------------------------------------------------


Dr. 'Umar bin Muhammad al-Sabil, dari University Umm al-Qura, di dalam tulisannya (حكم الطهارة لمس القرآن الكريم) mendakwa ijmak ulama tidak boleh memegang al-Quran bagi orang yang berhadath besar. Melainkan Daud al-Zahiri dan pengikut-pengikutnya dari ahli Zahir.

- Para ulama berbeza pendapat bagi orang yang berhadath kecil.

1- Tidak boleh :

Inilah pendapat para sahabat seperti Ali bin Abi Talib, Abdullah bin Mas'ud, Said bin Abi Waqqas, Ibn Umar, Said bin Zaid, Sulaiman al-Farisi dan selain mereka.

Di kalangan para Tabi'in pula seperti 'Ato' bin Abi Robah, Ibn Syihab al-Zuhri, al-Hasan al-Basri, Towus bin Kaisan, Salim bin Abdullah bin umar, al-Nakhaie'dan para Fuqaha' yang Tujuh. Inilah juga pendapat mazhab yang empat.

Dalil Ulama Yang Tidak Membenarkan.

1- Ayat al-Quran surah al-Waqi'ah : 77-80

إنه لقرآن كريم في كتاب مكنون لا يمسه إلا المطهرون تنزيل من رب العالمين

Maksudnya : Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah Al-Quran yang mulia, Yang tersimpan dalam Kitab yang cukup terpelihara. Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang suci. yang diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam.

2- al-Sunnah

- لا تمس القرآن إلا وأنت طاهر

Maksudnya : "Jangan kamu menyentuh al-Quran melainkan kamu suci." (Disahihkan oleh al-Hakim dan disepakati oleh al-Zahabi)

- لا يمس القرآن إلا طاهر

Maksudnya : "Tidak menyentuh al-Quran melainkan orang yang suci." (Daruqutni di dalam Sunannya. Di dalam Majma' al-Zawa-id disebut rijal hadith ini Mauthuq.)

3- al-Ijma'

- Ijmak di kalangan para sahabat tidak bolehnya memegang al-Quran bagi orang yang berhadath. Diriwayatkan pendapat ini dari kalangan para fuqaha' sahabat, dan para sahabat yang masyhur. Tidak diketahui pula ada yang berbeza di zaman mereka. Ini termasuk di dalam Ijmak Sukuti. Pendapat ini juga diakui dengan riwayat yang menyebut kisah pengislaman Umar, ketikamana beliau masuk menemui adiknya dan suami adiknya yang sedang membaca al-Quran. Lalu Omar berkata : "Berikan kepadaku kitab yang kamu baca yang berada disisi kamu berdua." Lalu adiknya berkata : "Sesungguhnya engkau najis, tidak menyentuhnya melainkan orang-orang yang suci, Bangun dan pergilah bersuci..." (Riwayat Daruqutni dan al-Baihaqi)

- Daripada 'Alqamah : "Kami bermusafir bersama Sulaiman al-Farisi, lalu dia menunaikan hajatnya (buang air). Kami berkata kepadanya : "Berwudhu'lah supaya kami boleh bertanya kepada mu tentang ayat al-Quran." jawabnya : "Bertanyalah kepada aku, dalam kadaan aku tidak menyentuhnya." Lalu kami baca (tanya) apa yang kami kehendaki." Di dalam riwayat yang lain Sulaiman al-Farisi berkata : "Tanyalah kepadaku dan aku tidak memegangnya (al-Quran), sesungguhnya al-Quran tidak menyentuhnya melainkan orang-orang yang suci." (Musnaf Ibn Abi Syaibah)

----------------

2- Boleh :

Diriwayatkan pendapat ini dari Ibn 'Abbas, al-Sya'bi, al-Dohhak, al-Hakam In 'Utaibah, Hammad bin Abi Sulaiman, Daud al-Zahiri dan ianya dari mazhab al-Zahiri.

Dalil Ulama Yang Membenarkan

1- Thabit di dalam Sahih al-Bukahri dan Muslim bahawasanya Nabi s.a.w. telah mengutus Dehyah al-Kalbi (دحية الكلبي ) menemui Herakle (هرقــل) maharaja Rom, dengan surat yang terkandung di dalamnya ayat al-Quran seperti yang saya sebutkan di dalam posting di atas.

Ibn Hazm berkata : "Ini perbuatan Nabi s.aw. yang telah mengutuskan surat yang mana di dalamnya ada ayat ini kepada Nasara. telah diyakini bahawasanya maharaja Rom tersebut menyentuhnya. Jika dibolehkan seorang kafir menyentuhnya. Maka harus pula bagi seorang muslim yang berhadath menyentuhnya dari bab keutamaan."

2- Tidak thabit larangan menyentuh al-Quran bagi orang yang berhadath samada dari al-Quran ataupun al-Sunnah. Maka jadilah hukumnya sebagai harus.

3- Apabila membaca al-Quran harus bagi orang yang berhadath, maka menyentuhnya lebih utama untuk dibolehkan tanpa hukum haram.

4- Dibolehkan kepada kanak-kanak membawa al-Quran sedangkan mereka itu berhadath. Ini menunjukkan bolehnya menyentuh al-Quran bagi orang yang berhadath.

Jawapan Golongan Kedua Kepada Golongan Pertama :

1- Ayat al-Quran (لا يمسه إلا المطهرون ) adalah jumlah Khabar/prediket (tidak menyentunya). Ianya bukanlah jumlah arahan (jangan menyentuh) dan bukan juga tuntutan untuk mesti suci apabila hendak menyentuh al-Quran.

Maksud tidak menyentuhnya (al-Kitab) di dalam ayat di atas ialah kitab yang ada di langit (Luh Mahfuz). Maka yang dimaksudkan dengan al-Mutahharun (makhluk-makhluk yang suci) itu ialah para Malaikat yang suci daripada Syirik dan dosa.

2- Semua hadith yang menunjukkan larangan menyentuh al-Quran bagi orang yang berhadath adalah lemah.

3- Dakwaan wujudnya ijmak tidak kuat kerana terdapat bukti yang menunjukkan adanya perbezaan pendapat di kalangan Tabi'ien dan generasi selepas mereka.


Bantahan Golongan Pertama Kepada Golongan Kedua :

1- Hadith penghantaran surat kepada Herakle itu menunjukkan bolehnya menyentuh risalah atau buku yang mengandungi satu ayat dari al-Quran atau seumpamanya. Benda seumpama ini tidak dinamakan Mushaf. Nabi s.a.w. juga hanya menyebutkan satu ayat al-Quran sahaja dengan memaksudkannya sebagai dakwah. Maka perbuatan seumpama ini adalah harus.

2- Dakwaan lemahnya semua hadith yang melarang menyentuh al-Quran bagi orang yang berhadath adalah tidak benar. Maka hukum asal harus itu tidak boleh digunakan lagi.

3- Kebenaran bagi orng yang berhadath membaca al-Quran adalah untuk orang yang berhadath kecil sahaja jika ada keperluan, disebabkan wujudnya kesukaran untuk berwudhu pada setiap kali hendak membaca al-Quran. Jika wujudnya kesukaran, maka datanglah keringanan kerana المشقة تجلب التيسير .

4- Kebenaran kanak-kanak membawa al-Quran adalah atas sebab keperluan untuk belajar. Bahkan kanak-kanak bukanlah mukallaf.

Jawapan Golongan Pertama Kepada Golongan Kedua :

1-(لا يمسه إلا المطهرون) adalah jumlah Khabar/prediket yang merangkumi larangan.

Dakwaan pengkhabar "Tidak menyentuhnya (al-Quran)", adalah al-Quran yang berada di Luh Mahfuz adalah tidak benar, kerana selepas ayat tersebut ALLAH menyebut : "Yang diturunkan daripada tuhan sekelian alam. " Ini menunjukkan al-Quran yang dimaksudkan ialah mashaf al-QUran yang berada di tangan manusia.

2- Dakwaan kelemahan semua hadith tentang larangan menyentuh al-Quran bagi orang yang berhadath adalah tidak benar. Jika sekalipun setiap satu hadith tersebut tidak sunyi dari kecacatan, namun dengan himpunan kesemua jalan-jalannya menaikkkannya kedarjat Hasan. Maka ia boleh dijadikan hujah dan wajib beramal dengannya. Kata al-Albani : "Bahawasanya hadith tersebut jalan-jalannya tidak sunyi dari kelemahan, akan tetapi kelemahan yang ringan. Dimana tidak ada (rawinya) yang dituduh berbohong, sebaliknya kelemahannya disebabkan Irsal dan hafalan yang lemah. Maka seperti yang diakui di dalam ilmu mustalah, bahawasanya jalan-jalan hadith menguatkan antara satu sama yang lain, sepertimana yang diakui oleh al-Nawawi di dalam Taqribnya, kemudian al-Suyuti di dalam Syarahnya. Maka berdasarkan ini diriku (al-ALbani) merasa tenang untuk mensahihkan hadith ini. Terutamanya telah berhujah dengannya Imam al-Sunnah Ahmad bin Hanbal... dan telah mensahihkannya oleh sahabat Imam Ahmad al-Imam Ishak bin Rahuwiah."(Irwa' al-Ghalil).

Rumusan :

Hukum menyentuh al-Quran bagi yang berhadath ini adalah sesuatu yang diperselisihkan di kalangan ulama, bahkan di kalangan para sahabat. Buktinya Dr. 'Umar bin Muhammad al-Sabil sendiri menyebut pendapat Ibn 'Abbas yang membolehkan menyentuh al-Quran bagi yang berhadath. Jika ianya ijmak mustahil wujud perbezaan pendapat di kalangan Tabi'ien. Dr. Husamuddin 'Ifanah pula mendakwa antara ulama mazhab Syafie yang mengharuskan wanita Haid memegang al-Quran ialah al-Muzani.

Jika meliihat kepada hujah-hujah kedua-dua pihak, kita akan mendapati kedua-duanya mendatangkan hujah dan dalil mereka. Maka jawapan kepada persoalan yang dilontarkan adalah seperti berikut :

1- Harus bagi wanita yang berhaid untuk dia membaca al-Quran dari hafalannya berdasarkan pendapat yang paling kuat dari dua pendapat ulama. Inilah pendapat Imam Malik, dan satu riwayat dari Imam Ahmad, Ibn Taimiyyah memilih pendapat ini. Demikian juga al-Albani dan al-Syaukani juga merajihkan pendapat ini berdasarkan ketiadaan dalil secara jelas yang melarangnya.

2- Tidak boleh wanita haid menyentuh al-Quran. Inilah pendapat keempat-empat Imam Mazhab. Dalil utama dalam masaalah ini ialah hadith :

لا يمس القرآن إلا طاهر

Maksudnya : "Tidak menyentuh al-Quran melainkan orang yang suci (daripada hadath kecil dan besar)."

Ulama yang mengharuskan wanita haid dari menyentuh al-Quran beralasan kalimat Tohir (طاهر = Suci/bersih) di dalam hadith di atas boleh membawa berbagai maksud antaranya ; suci daripada syirik, suci daripada hadath kecil atau besar dan suci daripada najis. Jadi mereka berpendapat kalimat ini boleh mewujudkan beberapa maksud. Maka ia tidak boleh dijadikan hujah dalam melarang wanita yang berhaid dari menyentuh al-Quran. Namun maksud Tohir di dalam hadith ini yang lebih kuat ialah suci dari hadath kecil dan besar. Ini berdasarkan ayat al-Quran :

وما يريد الله أن يجعل عليكم من حرج ولكن يريد لطهركم

Maksudnya : "dan ALLAH tidak menghendaki menjadikan kesusahan atas kamu, akan tetapi DIA menghendaki menbersihkan kamu." Ayat ini berbicara tentang wudhu dan tayammum.

Selain itu bukan menjadi tabiat Nabi s.a.w. menisbahkan orang mukmin sebagai Tohir yang membawa maksud suci/bersih daripada syirik (seperti yag difahami oleh ulama yang menharuskan wanita haid menyentuh al-Quran). Sebaliknya Nabi s.a.w. biasanya menisbahkan mereka dengan Iman. Ini menunjukkan kalimat Tohir di dalam hadith tersebut membawa maksud bersih/suci daripada hadath kecil dan besar. Inilah yang disebut oleh al-Syeikh al-Uthaimin di dalam al-Syarh al-Mumti'.

3- Sebagai langkah berhati-hati adalah baik untuk mengambil pendapat kempat-empat Imam Mazhab yang melarang wanita haid menyentuh al-Quran.

wallahu a'lam.

No comments: